Kejiranan Mesra Bantu Kerajaan Sarawak Bangunkan Kawasan Setempat

AHAD, 28 NOVEMBER 2021

KUCHING: Kejiranan Mesra (KJM) banyak memberi kesan dan manfaat kepada komuniti setempat dalam kawasan pentadbiran Kuching Utara.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia jelas dapat dilihat sejak penubuhannya pada tahun 2001.

Ujar beliau lagi, dengan adanya perhubungan seperti ini perbincangan mengenai masalah-masalah yang dihadapi masyarakat dan penyelesaian yang harus dibuat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dapat  dilakukan mengikut aturan yang ditetapkan.

“Dengan adanya perhubungan seperti ini, kita dapat berbincang mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan penyelesaian yang harus dibuat oleh DBKU.

“Dan, hasil perbincangan tersebut maka DBKU dapat memperkenalkan beberapa dasar yang dapat menguntungkan warga DBKU,” katanya semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Kejiranan Mesra di Hotel UCSI, Kuching pada Sabtu.

Dalam majlis sama, Ketua Menteri juga telah menyampaikan anugerah kepada para pemenang bagi Kategori Kebersihan, Kategori Kecantikan, Kategori Kejiranan Contoh, Kategori KJM Paling Aktif dan Pengerusi KJM Contoh.

Sementara itu, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) yang juga Menteri Muda Bekalan Air Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi ketika berucap dalam majlis sama memberitahu, KJM DBKU telah berjaya menganjurkan sebanyak 151 program daripada 297 yang dirancang.

Jelas beliau, aktiviti KJM telah dihadkan berikutan pandemik COVID-19 dan keperluan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Untuk makluman Ketua Menteri dan hadirin semua bagi tahun 2021 ini KJM DBKU telah berjaya menganjurkan sebanyak 151 program daripada 297 yang dirancang iaitu pencapaian sebanyak 51 peratus yang mana ianya menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu pencapaian 32 peratus.

“Peningkatan ini membuktikan KJM DBKU sememangnya terus bergerak aktif dengan adanya ahli masyarakat yang sentiasa bersedia berganding bahu dalam merealisasikan setiap aktiviti atau program yang telah dirancang,” jelas Datuk Dr. Abdul Rahman.

Hadir sama, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Syarifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Datuk Bandar Kuching Utara Datu Junaidi Reduan, Pemangku Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara Salwa Pauzi, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan bekas ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.-EDISI UKAS

add comment