Rancang Dan Kenal Pasti Tanaman Supaya Hasilnya Tidak Putus Dan Berterusan

AHAD, 28 NOVEMBER 2021

SELANGAU: Masyarakat Dayak yang terlibat dalam sektor pertanian perlu mempunyai perancangan bagi memastikan hasil tanaman tidak putus dan berterusan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Edwin Banta berkata, untuk itu suatu perancangan khusus wajar diberikan perhatian bagi mengenal pasti tanaman yang boleh diusahakan bagi beberapa tempoh akan datang. 

“Masyarakat Dayak harus menanam tanaman secara tiga cara iaitu jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang. Bagi jangka pendek, kita menanam tanaman yang cepat mengeluarkan hasil seperti tanaman sayuran.

“Jangka pertengahan adalah seperti tanaman kelapa sawit dan lada, manakala jangka panjang adalah tanaman seperti durian musang king,” katanya semasa berucap dalam Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) 2021 Siri 9 dan Majlis Penyerahan Bantuan Baja untuk Pekebun Kecil Kelapa Sawit dan Lada (BBSKL) di Rumah Sulang, Batu 88 Jalan Tatau Selangau pada Jumaat.

Program yang diadakan selama dua hari ini membolehkan peserta mendapatkan maklumat yang betul mengenai penggunaan baja dan racun, sistem fertigasi dan cara membuat ikan pekasam. 

Sementara itu, Pegawai Pertanian Bahagian Sibu Badin Unol memberitahu Jabatan Pertanian telah diberi tanggungjawab untuk memperkembangkan lagi hasil tanaman penduduk di kawasan luar bandar.

“Jabatan Pertanian telah diberikan amanah untuk menjalankan program berkaitan dengan pengembangan sektor pertanian untuk masyarakat di luar bandar. 

“Kami berkongsi maklumat dan teknologi terbaru berkaitan dengan sektor pertanian bagi meningkatkan hasil tanaman,” katanya. 

Hadir sama Sekyen Pengembangan, Ibu Pejabat Pertanian Negeri Sarawak Peter Jarit, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Selangau James Alow dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Sibu Sengalang Jawan.-EDISI UKAS

add comment