Tiada Pembangunan Di DUN Ba’kelalan, Dato’ Sri Tiong Gesa Penduduk Beri Sokongan Kepada Calon GPS

AHAD, 28 NOVEMBER 2021

BA’KELALAN: Beberapa kawasan di pedalaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan masih tiada mempunyai kemudahan asas yang lengkap.

Menurut Presiden PDP Dato’ Sri Tiong King Sing, ini termasuklah air bersih, elektrik malahan capaian liputan internet juga sangat tidak memuaskan. 

“Di Kampung Buduk Nur, saya telah menghubungi Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rudi Untom bagi mengadu perkara ini.

“Beliau akan mengambil tindak susulan dalam perkara ini dengan merujuk kepada senarai yang ada terlebih dahulu supaya tindakan susulan dapat dilakukan selepas ini,” katanya semasa berucap Pemimpin Bersama Rakyat di Long Tengoa, Ba’kelalan baru-baru ini.

Mengenai pencalonan di DUN Ba’kelalan, Dato’ Sri Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu memberitahu PDP telah memutuskan meletakan Sam Laya sebagai calon GPS di DUN Ba’kelalan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang ini.

“Sam Laya telah mendapat reaksi positif di kalangan akar umbi di DUN Ba’kelalan.

“Lawatan kali ini menyaksikan sokongan padu yang diterima Sam Laya dan berharap ianya dapat diterjemahkan dalam PRN12 Sarawak nanti.

“PDP telah menghantar nama Sam Laya sebagai calon GPS pada PRN12 kepada pimpinan tertinggi GPS dan hanya menunggu pengesahan sahaja,” jelasnya. 

Dato’ Sri Tiong sebelum ini telah mengadakan lawatan ke Kampung Buduk Nur, Bakelalan, Long Semadoh, Long Luping, Kampung Long Sukang dan sekitar Pekan Lawas serta Kampung Long Tengoa ini.

Hadir sama Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Robert Ayu dan Sam Laya-EDISI UKAS

add comment