ISNIN, 29 NOVEMBER 2021
SARIKEI: Rakyat di Selalang, Kerapa, Kerubong dan Sari dalam kawasan DUN N 41 Kuala Rajang amat bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Musa kerana sudi hadir untuk melihat sendiri keadaan sebenar apa yang dihadapi oleh rakyat di luar bandar.
Rakyat mengambil peluang ini untuk menyuarakan isu-isu berkaitan liputan internet yang lemah secara terus kepada menteri.
Tan Sri Annuar Musa dalam ucapannya meluahkan rasa gembira kerana dapat bersua muka dan sebagai seorang Menteri Komunikasi dan Multimedia melihat sendiri apa yang dihadapi oleh rakyat berkaitan liputan internet.
Katanya, Kerajaan sedar rakyat menghadapi kesukaran terutamanya bagi para pelajar untuk proses PDPR kerana capaian internet yang lemah.
Kini kerajaan sedang melaksanakan proses peralihan dan naiktaraf capaian internet di kawasan DUN Kuala Rajang dari 3G kepada 4G bermula 7 Disember nanti.
Semua ini dapat dilakukan kerana Sarawak dan Kerajaan pusat mampu bekerjasama dengan baik dan mempunyai kestabilan politik yang kukuh khususnya kerajaan negeri Sarawak.
Sarawak mampu menjadi sebuah negeri yang maju dengan adanya kepimpinan yang berpandangan jauh dan dengan sokongan dari wakil rakyat Sarawak kerajaan pusat dapat dibentuk disamping memberi khidmat terbaik untuk rakyat.
Dalam ucapannya, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) malah memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar jangan mudah percaya dengan pelbagai cerita yang disebarkan.
Semasa lawatan kerja ini, Tan Sri Annuar Musa turut beramah mesra dengan rakyat dalam program Randau@Komuniti dan Sembang Warung bersama Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh. – EDISI UKAS