Kerajaan Sarawak Sedia Bantuan Deposit RM10,000 Kepada Pasangan Belia Miliki Rumah Pertama

ISNIN, 29 NOVEMBER 2021

KUCHING:Kerajaan Sarawak menyediakan bantuan deposit kepada pasangan belia untuk memiliki rumah pertama dengan menyediakan bantuan deposit sebanyak RM10,000 bagi setiap rumah yang bernilai RM300,000 ke bawah bermula tahun 2022.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa prihatin dengan golongan tersebut untuk memiliki kediaman sendiri.

“Golongan belia kebiasaannya setelah berkahwin semestinya mempunyai keinginan untuk mendirikan rumah keluarga, namun dengan kekangan dari segi kewangan pembayaran muka rumah menyukarkan mereka untuk mendapatkan rumah mereka

“Jadi hari ini, saya ingin membantu golongan belia yang ingin berumah tangga memiliki rumah dengan harga RM300,000 ke bawah, GPS akan membayar deposit sebanyak RM10,000 dan kos itu ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Jelajah Belia Sarawak@Satok di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ketua Menteri menambah sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi bayaran deposit bagi golongan belia di Sarawak pada tahun depan.

“Purata projek perumahan di Sarawak pada setiap tahun ialah di antara 1,000 ke 2000 unit, namun saya projek pembinaan rumah tersebut akan ditingkatkan setiap tahun,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Nancy Jolhi serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS

add comment