Bertindak Awal 5 Minit Pertama Mampu Kawal Kebakaran

SELASA, 30 NOVEMBER 2021

LAWAS: Dalam keadaan genting sewaktu kebakaran, tindakan pantas 5 minit pertama sangat penting dalam memastikan situasi kebakaran itu dapat ditangani.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak Datu Khirudin Drahman@Khusaini berkata, dengan penubuhan Bomba Komuniti akan dapat memberikan pengetahuan kepada penduduk mengetahui cara dan kemahiran memadam kebakaran awal ianya akan membolehkan kebakaran itu dapat dipadam. 

“Penubuhan Bomba Komuniti ini adalah satu semangat untuk kita bersama-sama mewujudkan rangkaian ‘Champions’ atau juara. 

“Sebab, dalam kes kebakaran tindakan 5 minit pertama adalah tindakan kita bukannya Jabatan Bomba. 

“Kita sedia maklum dan sedar bahawa hari ini saya adalah Pengarah Bomba. Suatu hari apabila sudah bersara, saya adalah pesara Bomba. Tapi, inilah asas untuk kita mendidik masyarakat kita boleh bertindak dalam kecemasan,” katanya semasa berucap merasmikan Pelancaran Bomba Komuniti Kawasan Trusan, Kampung Long Tuan dan Skuad Perisma Suri Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas pada Ahad.

Tambah Datu Khirudin lagi, apa yang penting apabila berlakunya kebakaran jangan panik dan bertindak segera bagi 5 minit pertama dalam mengawal kebakaran. 

“Apa yang penting dalam Program Celik Suri ini harapan kita supaya suri rumah tidak panik. Apabila panik, api semakin besar. Setiap kes kebakaran, 99 peratus kes kebakaran bermula daripada api kecil. 

“Sebab itulah program Bomba Komuniti ini, kita hendak kita champions atau juara yang boleh bertindak. Sebab, rata-rata orang berfikir api tidak akan berlaku kepada kita. Tetapi, apabila berlaku macam mana kita respon. 

“Dalam elemen ini, kita mengharapkan program ini mendidik masyarakat kita supaya elemen 3 L iaitu lupa, lalai dan leka, jangan ada bersama kita,” tambahnya. 

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbng, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Mohamad Fauzi Moht Kipli, Ketua Zon 7 Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal, Ketua Balai, BBP Lawas Azman Bin Ibrahim, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).-EDISI UKAS

add comment