Tanaman ‘Cash Crop’ Bakal Tingkatkan Sosio Ekonomi Penduduk DUN Layar

SELASA, 30 NOVEMBER 2021

BETONG: Tanaman ‘Cash Crop’ melalui teknik fertigasi atau hidroponik bakal mempengaruhi peningkatan sosioekonomi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar.

Demikian menurut mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu semasa menghadiri Majlis Perasmian Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) Siri Ke 26 bagi penyerahan Bantuan Baja Kelapa Sawit dan Lada (BBKSL) bertempat di Rumah Johnson Iba, Skatap Layar Betong pada Ahad.

Dalam pada itu, pembinaan Jalan Baru Skatap, Meribong, Nanga Jelau, Batu Lintang dan Jelau Atas sedang dalam fasa pembinaan yang terakhir dan ianya akan membuka akses kawasan tanah para penduduk rumah panjang di situ.

Dato Gerald menambah, selain daripada pengusahaan tanaman tradisi getah dan kelapa sawit, kawasan tersebut yang kurang berbukit  amat sesuai juga dengan penanaman sayur dan ternakan ikan keli bagi penambahan serta pulangan yang lebih cepat dengan nilai pasaran di Betong dianggarkan lebih 20,000 penduduk.

Sementara itu, Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas yang mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berharap agar setiap pengusaha yang terlibat dalam pertanian sentiasa berhubung dengan merujuk Jabatan Pertanian bagi mendapatkan khidmat nasihat dan peluang bagi mendapatkan program bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Sarawak, Ngab Dollah Salam; Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Petrus Kang dan Tuai Rumah Panjang Skatap, Johnson Iba.-EDISI UKAS

add comment