380 Pegawai Dari MLGH, JPS, HDC dan 24 PBT Zon Tengah, Utara Terima Anugerah APC

KHAMIS, 2 DISEMBER 2021

MIRI: Seramai 380 pegawai daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (JPS) Zon Tengah dan Utara, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Zon Tengah dan Utara serta 24 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato’ Sri Prof Dr Sim Kui Hian telah menyampaikan anugerah tersebut kepada 129 pegawai yang hadir di Hotel Pullman, Miri pada Isnin.

Berucap dalam majlis tersebut, Dato’ Sri Prof Dr Sim berkata, majlis APC ini akan menjadi pendorong untuk kakitangan kementerian bagi mencontohi prestasi cemerlang dan semangat berpasukan.

“Saya pasti rakan sekerja anda yang lain juga telah memberikan yang terbaik dan APC ini akan menjadi dorongan kepada mereka untuk mencontohi prestasi cemerlang dan semangat berpasukan di kalangan anda semua,” ujarnya.

Beliau juga berharap budaya kerja berpasukan dalam Kementerian dapat digunakan dan membimbing kita mengharungi fasa pemulihan COVID-19.

Hadir sama, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Anthonio Kahti Galis dan Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang.-EDISI UKAS

add comment