DBKU Peruntukan RM35 Juta Tambah Baik Kemudahan Infrastruktur

KHAMIS, 2 DISEMBER 2021

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah memperuntukan RM35 juta bagi menambahbaik kemudahan infrastruktur seperti jalan kampung, sistem perparitan dan pemasangan Lampu Jalan LED Pintar di kawasan kampung dalam Pentadbiran DBKU.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata cadangan penambahbaikkan tersebut adalah selaras dengan pembangunan yang kian rancak di sekitar Bandaraya Kuching.

“Projek Menaik Taraf Jalan Kawasan Kampung DBKU melibatkan beberapa buah kampung di Kampung Pinang Jawa, Semariang, Bako, Muara Tebas, Tupong, Kudei, Buntal, Santubong, Sejingkat, Kampung Goebilt dan Senari.

“Manakala, projek menaik taraf perparitan konkrit sedia ada dan parit tanah di kawasan Demak Laut, Demak Baru, Semariang, Sukma, Rampangi, Muara Tebas, Kudei Buntal dan Santubong.

“Begitu juga menaik taraf lampu jalan sedia ada kepada lampu LED Pintar merangkumi di Kampung Nombor Fasa 2, Kawasan Pusat Bandar, Kampung Tunku, Malaysia Jaya, Jalan Astana, Pinang Jawa, Rampangi dan Bako,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas meghadiri Hari Inovasi Dan Intergriti Serta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja DBKU di Imperial Hotel pada Khamis.

Ujar Datuk Abdul Rahman lagi, beliau berharap dengan terlaksananya projek tersebut bakal meningkatkan lagi kualiti kehidupan warga kota  selaras dengan Pelan Program Bandar Selamat dan berteraskan kepada pelan penambahbaikan Kuching CBD,Enhancement Plan, Clean, Beautiful, Safe, Smart, Sustainable (2019-2023).-EDISI UKAS

add comment