Kerajaan Sarawak Sentiasa Iktiraf Tanah NCR

KHAMIS, 2 DISEMBER 2021

MIRI: Kerajaan Sarawak di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa mengiktiraf pemilikan Tanah Adat Bumiputera (NCR).

Bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ini bergantung kepada kesahihan mengikut perundangan. 

“Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf Tanah Adat Bumiputera  (NCR) asalkan ianya cukup bukti. Asalkan ianya sahih dari segi perundangan. 

“Kita ada undang-undang dan sewajarnya permohonan itu dibuat berlandaskan kepada undang-undang,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Rumah Ampik, Kampung Beraya, Kampung Nusah dan Kampung Sebalik Tiris, Miri pada Selasa. 

Pada majlis itu, Datuk Amar Awang Tengah menyampaikan 466 surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) kepada 182 penerima bagi kawasan Rumah Ampik, Kampung Nusah dan Kampung Sebalik Tiris. 

Selain itu sebanyak 270 surat hakmilik tanah Seksyen 18 KTN hasil daripada operasi penyelesaian diserah kepada 70 orang penerima bagi kawasan Kampung Beraya. 

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Dr. Ripin Lamat, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusup, Pengusaha Tanah dan Survei Bahagian Miri Anthony Aboi dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).-EDISI UKAS

add comment