Program REGISTA Bantu Para Peniaga Di DUN Serembu Mantapkan Aktiviti Perniagaan

KHAMIS, 2 DISEMBER 2021

BAU: Program Jum Regista Bisnes Sarawakku Sayang (REGISTA) anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak telah diadakan di Dewan Serbaguna Krokong, pada Rabu.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Pejabat Residen Bahagian Kuching dan Pejabat Daerah Bau yang disempurnakan oleh Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil & Sederhana Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais.

Beliau memberitahu, REGISTA bertujuan menyediakan perkhidmatan pendaftaran perniagaan sekaligus memantapkan aktivit perniagaan menerusi program yang ditawarkan kepada para peniaga yang berdaftar.

Jelasnya, penggunaan platform digital juga perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam memperkembangkan perniagaan terutamanya ketika menghadapi pandemik COVID-19.

Sementara itu, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh turut berkesempatan merakamkan penghargaan kepada MINTRED atas penganjuran program berkenaan.

Katanya, program REGISTA amat penting dalam memberikan pendedahan kepada masyarakat kepentingan untuk mendaftar perniagaan mereka.

Miro menambah, bagi peringkat DUN Serembu, beliau akan menyediakan, merancang dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi dalam memantapkan perniagaan para peniaga di kawasan tersebut. –EDISI UKAS

add comment