Lelaki Ditahan Bersama Rampasan Pelbagai Jenis Mercun Bernilai RM450,000

JUMAAT, 3 DISEMBER 2021

BINTULU: Seorang lelaki ditahan bersama rampasan pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM450,000 dalam serbuan polis ke atas sebuah kediaman di Jalan Sebiew pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, serbuan dijalankan sepasukan anggota dari Unit Risikan Pasukan Polis Marin Bintulu bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu pada jam 7 malam.

“Dalam serbuan berkenaan, pihak polis telah merampas sebanyak 620 kotak berisi mercun mengandungi 26  jenis yang dianggarkan bernilai RM450,000.

“Turut ditahan seorang lelaki Cina berumur 35 tahun kerana gagal menunjukkan sebarang bukti berdokumen berkaitan pemilikan barangan tersebut,” katanya dalam sidang media di Pejabat Pasukan Polis Marin Bintulu di Kampung Jepak, pada Khamis.

Zulkipli memberitahu, saspek ditahan reman tiga hari bermula 2 Disember sehingga 5 Disember ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Pihak polis percaya bekalan mercun tersebut adalah untuk pasaran tempatan dan musim perayaan.-EDISI UKAS

add comment