Pembukaan Laluan Baharu Kuching- Penang Bantu Sektor Pelancongan Domestik Negeri

JUMAAT, 3 DISEMBER 2021

KUCHING: Pembukaan laluan baharu Kuching- Penang akan membantu sektor pelancongan domestik antara kedua-dua negeri berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kesalinghubungan menjadi cabaran bagi setiap negeri semasa pandemik COVID-19 ini.

“Kesalinghubungan sentiasa menjadi cabaran sama ada tanah, air ataupun udara justeru laluan terus ke Sarawak dari Pulau Pingan sangat dialu-alukan.

“ Kesalinghubungan dan kebolehcapaian menjana mobiliti lebih besar yang akan memacu pertumbuhan ekonomi kedua-dua destinasi,” katanya dalam Majlis Perasmian Penerbangan Malaysia Airlines Pulau Pinang-Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Khamis. 

Dato Sri Abdul Karim menambah, Kerajaan Negeri berhasrat untuk melihat lebih banyak laluan baharu dan meningkatkan kekerapan penerbangan terus dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Kota Kinabalu dengan kolaborasi Malaysia Airlines.

Beliau menambah, keselamatan juga sentiasa menjadi keutamaan supaya para pengunjung berasa selamat semasa berada di Sarawak.

Jelas beliau, pengunjung domestik yang sudah menerima vaksin sepenuhnya tidak perlu menjalani kuarantin semasa tiba di negeri ini dan ujian PCR serta RTK COVID-19 juga tidak diperlukan. 

Ujarnya, mereka hanya perlu mengemukakan permohonan melalui Enter Sarawak dan mengisi borang pengistiharan e-health Sarawak sebelum masuk ke negeri Sarawak.-EDISI UKAS

add comment