Pemeriksaan Ke Atas Harga Barangan Dan Makanan Bermasak Dipertingkat

JUMAAT, 3 DISEMBER 2021

BINTULU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Bintulu melalui Pegawai Pemantau Harga telah membuat pemantauan secara harian, mingguan dan bulanan.

Ketua Cawangan Pejabat KPDNHEP Cawangan Bintulu, Nazari Hassan berkata, pemantauan berkenaan adalah bagi mendapatkan maklumat harga ke atas 480 jenis barangan keperluan di Bandar Bintulu, Tatau dan Sebauh.

Ujarnya, pemeriksaan secara harian dengan memberi tumpuan terhadap setiap peringkat pengedaran barangan, juga sedang giat dilaksanakan oleh Pegawai Penguat Kuasa termasuk peniaga di Pasar Borong/Pagi, Pasar Utama Bintulu dan Pasar Sebiew yang menjadi tumpuan ramai.

“Setakat ini sebanyak tiga Notis Pengesahan Maklumat Harga Barangan (NPMB) dan tiga Notis Bertulis (NB) di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga berhubung kenaikan harga Sawi, Brokoli dan Telur Gred B.

“Pengeluaran notis ini bertujuan bagi mendapatkan maklumat harga serta kos bagi memastikan dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan baru-baru ini.

Nazari memberitahu, sekiranya pihak berkaitan gagal mematuhi notis tersebut, ianya menjadi suatu kesalahan dan tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 21(5), AKHAP 2011) dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.

Tambah beliau, manakala sekiranya peniaga seterusnya didapati melakukan kesalahan mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan secara tidak munasabah (mencatut) sehingga menyebabkan kenaikan harga yang melampau, tindakan tegas di bawah Seksyen 14(1), AKHAP 2011 dengan dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan/syarikat dan sehingga RM100,000 bagi individu atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Dalam perkembangan lain, KPDNHEP juga sedang menjalankan pemeriksaan ke atas pengusaha restoran dan kedai makan di Bahagian ini di bawah Ops Menu.

Jelas beliau, sebanyak 52 premis restoran dan kedai makan telah diperiksa dan didapati mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Fokus utama Ops Menu ini adalah bertujuan bagi memantau dan menangani isu harga makanan bermasak di samping memastikan peniaga yang terlibat sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah AKHAP 2011.

“Antara tanggungjawab peniaga adalah mereka wajib meletakkan dan mempamerkan harga makanan bermasak secara jelas, selain itu menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan di restoran dan kedai makan mereka,” jelasnya lagi.-EDISI UKAS

add comment