JUMAAT, 3 DISEMBER 2021
MIRI: Projek Naik Taraf Balai Raya Kampung Katong yang merupakan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) membabitkan peruntukan berjumlah RM60,000 telah pun siap pada 12 November lepas dan sedia digunakan penduduk.
Bagaimanapun, projek ini hanya melibatkan pembinaan pentas dan menyambung bekalan air dan elektrik baharu ke dalam balai raya.
Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Sri Lee Kim Shin meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Katong Lopeng mengemukakan cdangan menaik taraf bagi membina beberapa lagi kemudahan lain untuk Balai Raya Kampung Katong Lopeng.
“Saya minta JKKK Kampung Katong Lopeng mengemukakan cadangan menaik taraf bumbung tepi dewan, lantai, tempat letak kereta dan tandas supaya ianya dapat dimasukkan di dalam Projek RTP pada masa akan datang,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan tinjauan tapak ke Projek Naik Taraf Balai Raya Kampung Katong Lopeng pada Rabu.
Balai Raya Kampung Katong Lopeng ini dibina baharu bagi menggantikan balai serbaguna yang telah usang dan tidak dapat lagi digunakan.
Dengan siapnya balai raya ini akan dapat dimanfaatkan penduduk kampung bagi program dan aktiviti rekreasi seperti badminton dan majlis keraian.
Hadir sama Penolong Jurutera Majlis Bandaraya Miri, Dayang Noor Alfiza Lisa Kumek dan Setiausaha JKKK Kampung Katong Lopeng.-EDISI UKAS