SABTU, 4 DISEMBER 2021
SELANGAU: Kerajaan Sarawak mahu mengurangkan kebergantungan mengimport makanan dari negara luar dengan memperhebatkan sektor pertanian di negeri ini.
Ahli Dewan Negara Rita Insol berkata, untuk menjayakannya pelbagai kaedah dan cara telah digunakan antaranya mengaplikasikan cara dan kaedah tanaman baharu seperti tanaman fertigasi.
“Salah satu objektif program ini adalah untuk membuka minda kita supaya kita dapat menerima perkara baru untuk menambahkan ekonomi kita.
“Cara baru adalah termasuk menggunakan platform media sosial untuk kita mempromosi produk produk kita,” katanya semasa berucap merasmikan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) 2021 Siri 1 dan Majlis Penyerahan Bantuan Baja Untuk Pekebun Kecik Kelapa Sawit dan Lada (BBSKL) di Rumah Lichai, Sungai Tepus, Selangau pada Khamis.
Dalam pada itu, ujar Rita lagi, bagi kaum wanita di rumah panjang jangan takut untuk mencuba dan mengadaptasi cara baharu dalam pertanian yang boleh memberi manfaat yang besar.
“Kita wanita di rumah panjang boleh berjaya jika kita berani mencuba dan mengadaptasi cara-cara baharu.
“Contohnya, Rintun dari Rumah Jelia anak Kuwi, Tatau. Beliau berjaya menjual produk ciping (ragi) ke seluruh pelusuk Sarawak termasuk ke Semenanjung Malaysia.
“Ini kerana mereka memang mahir dalam pengahasilan ragi yang berkualiti,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau akan membawa cadangan kepada SRDC untuk membuka Bazaar Gawai Dayak di Selangau dan Tatau yang bertujuan menjual hasil atau produk tempatan.
Turut diumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM5,000 kepada Biro Wanit Rumah Lichai.
Turut sama hadir Ketua Bahagian Pengembangan, Jabatan Pertanian Sarawak Ronald Ripid, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Selangau James Alow dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Sibu Sengalang Jawan. -EDISI UKAS