Hubungan Baik Kerajaan Persekutuan, Negeri Faktor Kesinambungan Pembangunan Sarawak: PM

SABTU, 4 DISEMBER 2021

KAPIT: Hubungan baik Kerajaan Pusat dan Negeri Sarawak perlu dikekalkan demi kesinambungan pembangunan khususnya di luar bandar.

Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, hubungan itu dapat diperkukuhkan lagi dengan sokongan rakyat Sarawak kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang diterjemahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan Ketua Menteri Sarawak dan berharap rakyat Sarawak dapat membuat pilihan yang betul (pada PRN Sarawak).

“Hubungan ini penting untuk kita memudahkan lagi kerjasama dalam membangunkan negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kapit pada Sabtu.

Perdana Menteri juga memberi jaminan akan membawa pembangunan lebih kepada Sarawak terutamanya untuk bahagian Kapit.

“Saya berharap saya akan berkunjung semula ke Kapit selepas ini dan Sarawak masih di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari.

“Mana-mana permohonan projek di Kapit yang dapat kita luluskan akan diluluskan dengan segera,” tambahnya.

Pada majlis yang sama Perdana Menteri turut meluluskan permohonan jalan pintas dari Lapangan Terbang Kapit ke Bangunan Kompleks Kerajaan Negeri Kapit berjumlah RM20 juta dan menaiktaraf hospital Kapit untuk kegunaan hemodialisis sebanyak RM5 juta.

Beliau juga menambah kerajaan telah meluluskan peruntukan yang besar kepada Sarawak termasuk di Kapit dalam Belanjawan 2022.

Antaranya termasuk Projek Pembinaan Pencawang Pembahagi Utama dan Talian di Nanga Merit dengan kos sebanyak RM40 juta, Projek Bekalan Air Luar Bandar kawasan Nanga Mujong berjumlah RM30 juta dan pembinaan Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak KEMAS di Rumah Chamboh sebanyak RM4.89 juta.

Selain itu, ujarnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan membina Kolej Profesional MARA di Kapit dengan kos RM97 juta yang kini sedang dalam proses pengambilan tanah.

Terdahulu, lawatan pertama Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke bahagian Kapit turut merasmikan Jambatan Berkembar Sungai Yong.

Projek merangkumi jambatan yang kedua dengan 280 meter panjang itu menelan kos lebih RM12.6 juta telah siap pada 30 Ogos 2021.-EDISI UKAS

add comment