Pertikaian Antara Pemilik Tanah Menyebabkan Kerja-Kerja Penyukatan Tanah NCR Tidak Dapat Dilaksanakan

SABTU, 4 DISEMBER 2021

BINTULU: Penduduk atau penuntut Tanah Adat Bumiputera (NCR) perlu bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survey (JTS) bagi memastikan tiada berlakunya pertikaian ke atas tanah yang hendak disukat. 

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pertikaian yang berlaku telah menyebabkan pihak JTS tidak dapat melaksanakan penyukatan tanah seperti yang dikehendaki dan seterusnya surat hak milik tanah tersebut tidak dapat dikeluarkan.

“Kita ada terima banyak permohonan untuk tanah NCR dan kita pun telah memproses serta meluluskan permohonan tersebut.

“Bagaimanapun, apabila pihak JTS turun ke lapangan untuk menyukat terdapat pula pertikaian yang mana menyebabkan pengukur tidak dapat menyukat sehinggalah pertikaian tersebut diselesaikan,” katanya semasa berucap Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah di Bawah Seksyen 18 dan Seksyen 13 Kanun Tanah Negeri Bahagian Bintulu di Hotel Parkcity Everly Bintulu pada Rabu. 

Ujar beliau lagi, Kerajaan Sarawak komited mempertahankan hak rakyat ke atas Tanah NCR yang sahih mengikut perundangan dengan mempercepatkan proses penyukatan dan pengukuran bagi memastikan setiap pemilik tanah NCR mempunyai dokumen pemilikan, persempadanan yang jelas dan tidak akan diceroboh.

Datuk Amar Awang Tengah menegaskan hasutan atau dakyah pembangkang dalam Tanah NCR ini adalah bermusim terutama apabila dekat dengan pilihan raya.

“Mereka ini adalah orang luar dan bukan ada tuntutan tanah di satu-satu tempat sebaliknya hanya cakap sahaja dan bukan memperjuangkan hak tanah NCR. 

“Akibatnya pemilik tanah yang termakan hasutan menyebabkan tanah orang mereka tidak disukat serta tiada jaminan surat hakmilik tanah. 

“Perkara ini perlu diketepikan kerana Kerajaan lebih tahu dalam membantu rakyat dalam mempertahankan tanah NCR dengan pengukuran tanah NCR,” tegasnya. 

Tambahnya, kerja-kerja pengukuran ini perlu mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang ditetapkan iaitu dilaksanakan berdasarkan permohonan tanah NCR yang diluluskan.

Pada majlis itu telah disampaikan Surat Hakmilik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) di Bawah Warta Seksyen 6 KTN Rizab Komunal Bumiputera Pertanian antaranya  kawasan Selitut-Separai, Kakus sebanyak 107 bilangan Surat Hakmilik Tanah melibatkan 107 penerima bagi komuniti Iban yang berkeluasan 869.81 ekar, kawasan Sungai Kelawit, DUN Kakus sebanyak 31 bilangan Surat Hakmilik Tanah melibatkan 31 penerima bagi komuniti lban yangberkeluasan 214.98 ekar dan kawasan Kuala Tatau, DUN Jepak sebanyak 29 bilangan Surat Hakmilik tanah melibatkan 28 penerima bagi komuniti Melayu/Melanau yang berkeluasan 79.44 ekar. 

Sementara itu, penyerahan Surat Hakmilik Tanah di Bawah Seksyen 13 Kanun Tanah Negeri (KTN) bagi Kawasan Penyelesaian (Settlement) melibatkan kawasan Jalan Bintulu Miri N.70 Samalaju sebanyak 165 surat Hak Milik Tanah kepada 165 penerima bagi komunitu Melayu, Vaie dan Iban. 

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai, bekas Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Samalaju Dato Majang Renggi, Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu Datu Haji Muhammad Yakup Kari, Timbalan Pengarah Tanah dan Survei Sarawak ( Pengurusan) Awang Zamhari Awang dan Penguasa Tanah dan Survei, Bahagian Bintulu Mohammad Zunica Mohamad Sapiee.- EDISI UKAS

add comment