Calon ADUN Kuala Rajang Saksi Serah Tapak Projek MDS, Dana Kepada Alumni SK Abang Haji Matahir Sarikei

AHAD, 05 DISEMBER 2021

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh telah hadir menyaksikan simbolik penyerahan tapak projek Pentas Utama, Kompleks Sukan Intergrasi Kampung Seberang Sarikei oleh kontraktor terbabit kepada wakil Majlis Daerah Sarikei pada Sabtu.


Projek yang bernilai RM988,680 merangkumi pembinaan Pentas Utama dua tingkat, ruang duduk terbuka yang mampu menampung 350 orang, bilik persalinan dan tandas akan memberi keselesaan dan kemudahan terbaru kepada rakyat dan perkembangan sukan di Sarikei.


Terdahulu, Datu Len yang juga Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak turut merasmikan Majlis Pelancaran Perlembagaan Protem Alumni Sekolah Kebangsaan Abang Haji Matahir Sarikei bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei.


Melalui alumni ini, ianya dapat menyalurkan pelbagai bantuan untuk anak-anak Sarikei terutamanya pelajar SK Abang Haji Matahir Sarikei serta mampu memperkasakan lagi sistem pendidikan untuk Sarikei dengan sumbangan yang bakal diberikan.


Pada majlis tersebut, Datu Len telah menyerahkan dana sebanyak RM20,000 bagi membantu meningkatkan pendidikan serta melahirkan lebih banyak pelajar yang berjaya di Sarikei.


Pada sebelah paginya, beliau telah menerima kunjungan dari Ahli Jawatankuasa Rumpun Silat Sarawak Wilayah Sarikei dan Perguruan Seni Silat Helang Putih Sarikei dan telah menyerahkan sumbangan sejumlah RM5,000 kepada persatuan ini bagi menguruskan aktiviti mereka sepanjang tahun.-EDISI UKAS

add comment