FELCRA Berhad Bangunkan Tanah Seluas 2,239.69 Hektar Di Kawasan Batang Lupar

AHAD, 5 DISEMBER 2021

SEDUKU: FELCRA Berhad telah membangunkan tanah seluas 2,239.69 hektar di kawasan Batang Lupar sejak tahun 2008 sehingga kini.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim berkata, bagi tahun 2021, FELCRA Berhad telah mengagihkan keuntungan interim 1 dan 2 berjumlah RM1.7 juta kepada peserta-peserta dari projek-projek berhasil di kawasan Batang Lupar.

Jelasnya, FELCRA Berhad juga telah berjaya membangunkan seluas 47,731 hektar tanaman komoditi sawit di Sarawak.

“Ia memberikan impak pembangunan kepada seramai 20,307 orang peserta Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) yang turut merangkumi peserta Ladang Rakyat dan Ladang Sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Mesra Peserta FELCRA Berhad Kawasan Batang Lupar Bersama Dato’ Sri Rohani Abdul Karim di Dewan Serbaguna Kampung Agropolitan Seduku Baru, Lingga pada Sabtu.

Turut hadir, Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN N28 Lingga, Dayang Noraazah Awang Sohor dan bekas ADUN Lingga, Dato Simoi Peri.

Dalam majlis sama, beliau turut berpeluang menyantuni 100 orang pelajar dengan pek kembali ke sekolah yang berupa peralatan persekolahan.

Beliau juga menyerahkan pek prihatin keluarga FELCRA berupa bakul makanan asas kepada 100 golongan asnaf dan warga emas dari projek-projek sekitar FELCRA Berhad Kawasan Batang Lupar.

Dato’ Sri Rohani Abdul Karim juga berkesempatan untuk menyerahkan peruntukan geran Program Perlengkapan Kampung – Ameniti Sosial 2021 berjumlah RM75,000 untuk naik taraf Dewan Tok Abg Udai, Lingga.

Pada majlis itu juga, dua usahawan bimbingan FELCRA Berhad turut menerima peruntukan geran Program Perlengkapan Kampung-Premis Perniagaan 2021 berjumlah RM10,000 kepada Wan Jamari Wan Dolit dan RM7,000 kepada Arfari’ah Nasir.

Peruntukan geran Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar 2021 (SPKLB 2021) berjumlah RM10,000 turut disampaikan kepada Ayu Kias yang juga salah seorang usahawan bimbingan FELCRA Berhad. -EDISI UKAS

add comment