Perdana Menteri Rasmi Lapangan Terbang Baharu Mukah

SABTU, 4 DISEMBER 2021

MUKAH: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Lapangan Terbang Baharu Mukah yang turut disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Sabtu.

Menurut Dato’ Sri Ismail Sabri, pembinaan lapangan terbang baharu Mukah itu bukan sahaja merancakkan peluang ekonomi kepada penduduk Mukah malah akan menyokong aktiviti-aktiviti Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang bakal mewujudkan jaringan ekonomi yang lebih efektif.

“Pembinaan Lapangan Terbang Baharu Mukah ini akan merancakkan peluang ekonomi yang dapat memberi impak berganda dan berangkai kepada penduduk di Mukah serta keluarga Malaysia amnya.

“Tambahan pula Lapangan Terbang ini bakal menyediakan sokongan bagi aktiviti-aktiviti di koridor SCORE yang bakal mewujudkan jaringan ekonomi yang lebih efektif dan efisyen kelak,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Lapangan Terbang Baharu Mukah, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu di bawah program Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan telah meluluskan projek menaik taraf Sistem Pengurusan Trafik Udara dengan nilai keseluruhan projek sebanyak RM19.5 juta.

“Di bawah program RMK-12, kerajaan telah meluluskan projek menaik taraf Sistem Pengurusan Trafik Udara dengan nilai keseluruhan projek sebanyak RM19.5 juta.

“Projek permodenan ruang pengurusan udara Kuala Lumpur berjaya disiapkan dengan pelancaran kompleks Kuala Lumpur Air Traffic Control Center (KL ATCC) pada 1 Disember yang lalu, manakala projek permodenan peralatan di ruang udara Kota Kinabalu yang merangkumi negeri Sabah dan Sarawak dijadual siap pada 10 Disember 2021,”ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia, kerajaan Sarawak dan semua agensi yang terlibat atas kejayaan membina satu mercu tanda ikonik di Mukah.

“Saya berbangga projek lapangan terbang ini dapat disiapkan walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Ini bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi pencapaian Malaysia dalam sektor pengangkutan,” tambah beliau.

Turut mengiringi, Menteri Pengangkutan, Dato Seri Ir Wee Ka Siong, Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga, dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin,Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Dato Hanifah Taib, dan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Dato Henry Sum Agong. -EDISI UKAS

add comment