Program Kayuhan Santai Pantai Damai 2021 Erat Silaturrahim Antara KJM

AHAD, 5 DISEMBER 2021

KUCHING: Program Kayuhan Santai Pantai Damai 2021 anjuran gabungan Jawatankuasa Kejiranan Mesra (KJM) Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kawasan Pantai Damai telah diadakan di Esplanade Kampung Buntal pada Ahad.

Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, program tersebut merupakan aktiviti penutup kepada aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan KJM sepanjang tahun ini.

“Dengan adanya program seperti ini ianya dapat mengeratkan silaturrahim antara KJM selain dapat mengajak penduduk kampung bersama-sama untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya ketika becakap bersama media.

Program tersebut telah disertai 13 ahli Kejiranan Mesra (KJM) bagi seluruh kawasan Pantai Damai di bawah pentdabiran DBKU.

Menjelas mengenai persediaan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman menjelaskan, DUN Pantai Damai telahpun bersiap siaga sejak dua tahun yang lalu.

“Kita telah pun membuat persiapan awal, iaitu selesai sahaja Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

“Pada awal tahun 2019 juga kita telah pun memulakan gerak kerja memperkemaskan jawatankuasa di peringkat cawangan dan ranting bagi menghadapi PRN12 ini” jelasnya.

Beliau menyeru masyarakat menunaikan tanggungjawab mengundi di 17 pusat mengundi bagi kawasan DUN Pantai Damai.-EDISI UKAS

add comment