GPS Perlu Mandat Untuk Teruskan Pelaksanaan Dasar-Dasar Pimpinan

AHAD, 5 DISEMBER 2021

KUCHING : Menyangkal dakwaan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara tergesa-gesa untuk mengelak Undi 18 diperjelaskan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Menurut Ketua Menteri, bagi meneruskan pelaksanaan dasar-dasar kepimpinan beliau, mandat melalui kemenangan dalam PRN Sarawak Ke-12 penting bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usaha melonjakkan ekonomi negeri.

“Kita tiada mandat.. Bagaimana saya nak melaksanakan dasar-dasar sekiranya saya tidak mempunyai mandat..Saya pun tidak mahu jadi Ketua Menteri tanpa mandat”

“Undi 18 ini kita memang sudah bersetuju..kita yang pinda perlembagaan kita yang membolehkan orang muda berumur 18 tahun untuk menjadi pengundi dan menjadi calon,” jelasnya dalam Wawancara Khas Ketua Menteri bersama media di kuching baru-baru ini.

Ujar Ketua Menteri, kerajaan kini tidak mempunyai kuasa memandangkan mandat telah selesai pada Jun lepas.

“Mandat GPS sudah habis pada bulan Jun, bermakna kita tidak ada kuasa mutlak, tetapi bergantung kepada kecemasan daripada sudut kesihatan dan kedudukan kes yang ada,”katanya.

Oleh itu, tegasnya PRN perlu diadakan dalam masa terdekat dan tarikh yang telah dipersetujui amat sesuai dengan keadaan pandemik kini yang terkawal.

“Sebab kita adakan sekarang ini, kita tidak tahu apa akan berlaku tahun depan..mungkin akan ada lagi varian baru dan kita belum pasti”

“Jadi pada pandangan kita, inilah masa yang paling sesuai untuk mengadakan PRN”

“Melihat kepada keadaan sekarang dan antibodi kita yang ada, saya yakin rakyat akan menggunakan kuasa memilih untuk keluar mengundi”

Tambah beliau, kerajaan juga menerima pandangan daripada agensi-agensi berkaitan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengadakan PRN disamping memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi.

“Kita mengundi menggunakan pelitup muka, ada penjarakan, ada sistem, jadi ia tidak begitu membawa mudarat kerana yang pergi mengundi hanya seorang”

“Lebih memudaratkan lagi apabila kita makan, kita buka pelitup muka..kemudian duduk dalam satu meja secara berkumpulan”.

Dalam perkembangan berkaitan, GPS mengemukakan banyak muka baharu termasuk generasi muda untuk bertanding dalam PRN12 kelak.

Ketua menteri berkata, GPS sememangnya mempunyai lapisan pemimpin muda yang terlatih dan berpengalaman bagi mengambil alih pimpinan dan meneruskan usaha membangunkan Sarawak.

“Apabila kita dalam GPS, kita tahu apa yang kita mahu…Bermakna kita ada keinginan untuk memastikan negeri kita terjamin dan dilindungi” -EDISI UKAS

add comment