ISNIN, 6 DISEMBER 2021
SPAOH: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.
Datuk Amar Douglas yang bertanding di atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) dicabar Mikail Mathew Abdullah (PKR) dan Andria Dundang @ Andria Gelayan (PSB).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bukit Saban, Charlie Keling membuat pengumuman itu selepas proses penyerahan borang pencalonan selesai di pusat penamaan calon (PPC) di Pejabat Daerah Kecil Spaoh di sini.
“Saya sudah semak dan berpuas hati serta tiada calon ditolak kertas penamaannya,” kata beliau.
Terdahulu, Datuk Amar Douglas yang diiringi Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat sebagai pencadang dan Nahariah Mohd Spawi sebagai penyokong tiba di PPC itu pada jam 8.20 pagi.
Mikail calon pertama yang tiba di PPC pada jam 7.50 pagi manakala Andria tiba pada jam 8.10 pagi, masing-masing diiringi pencadang dan penyokong.
Proses penamaan calon berlangsung tanpa kehadiran penyokong parti bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. – EDISI UKAS