PRN12 Sarawak: SPR Sasar 70 Peratus Turun Mengundi 

ISNIN, 6 DISEMBER 2021

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan 70 peratus turun mengundi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak kali ini. 

Perkara ini dimaklumkan Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani selepas ditanya media dalam Sidang Media Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak di Wisma Persekutuan Malaysia Sarawak, Simpang 3 pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PRN12 Sarawak akan menggunapakai Prosedur Operasi Standard (SOP) Khas Pencegahan COVID-19 seperti yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 5 Disember 2021 (Ahad) selaras dengan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. 

“SOP khas ini akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses penjalanan pilihan raya iaitu taklimat petugas, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi. 

“Maklumat lanjut berkenaan SOP Pencegahan COVID-19 PRU DUN Sarawak Ke-12 boleh diperolehi di portal spr.gov.my,” katanya. 

Beliau turut berharap agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Hadir sama Pengarah SPR Sarawak Jasni Jubli-EDISI UKAS 

add comment