PBB Terus Bentuk Pelapis Baru: Datuk Amar Douglas

SELASA, 7 DISEMBER 2021

SPAOH: Proses membentuk pelapis muda adalah sangat penting dan bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), pilihan raya negeri adalah masa yang paling sesuai untuk melakukannya.

Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, atas tujuan tersebut parti itu telah memperkenalkan lapan calon muda pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) kali ini.

Beliau memberitahu demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pesara Kerajaan Spaoh di pusat khidmatnya di sini hari ini.

“Untuk PBB kekal sebagai tulang belakang Kerajaan GPS, kita mesti membentuk pemimpin untuk masa depan. Apabila seorang pemimpin berundur, seorang lagi perlu mengisi kekosongan itu.

“Jadi PBB akan terus berkembang dan berkhidmat kepada rakyat. Tambahan pula, dalam setiap era baharu, anda akan melalui perjuangan yang berbeza.

“Dalam setiap era, anda akan mempunyai isu yang berbeza. Dan dalam setiap era baharu, anda akan menghadapi cabaran yang berbeza,” katanya.

Datuk Amar Douglas menambah, negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Ini merupakan situasai yang tidak pernah dilalui oleh seorang pun daripada kita sebelum ini.

“Jadi kita perlu bertahan dan semua pengalaman ini sangat penting,” katanya.

Menceritakan pengalaman peribadinya, Datuk Amar Douglas berkata beliau telah berkecimpung dalam arena politik sejak 1986.

“Saya telah memegang beberapa jawatan dalam kabinet persekutuan. Apabila saya pulang ke Sarawak, saya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri selain memegang jawatan lain termasuk pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC).

“Pengalaman yang saya perolehi sangat berharga. Untuk terlibat dalam pentadbiran negeri, ia bukan mudah terutamanya dalam menangani pandemik itu.

“Jadi membentuk pemimpin yang baru adalah bahagian yang berterusan dan penting dalam PBB,” ujarnya.

Mengenai jumlah calon yang ramai menawarkan diri dalam pilihan raya, Uggah yang merupakan Pengarah Pilihan Raya Negeri GPS berkata ia menunjukkan bahawa demokrasi sedang berkembang di negeri ini.

“Kami mengalu-alukan mereka semua. Ini akan menjadi sangat menarik. Contohnya, kita mempunyai kerusi Dudong dengan lapan peserta.

“Di Bukit Saban, saya akan menentang dua orang lagi,” tambhnya lagi.

Menyentuh perkara yang lain, Uggah berkata beliau dan pasukan kempennya akan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dari Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Kita sudah lihat senarai kerusi DUN di mana ceramah boleh diadakan berdasarkan SOP. Bukit Saban adalah salah satu daripadanya.

“Walaupun liputan internet kami agak baik, terdapat kawasan yang tidak mempunyai liputan.

“Jadi kami berterima kasih kepada suruhanjaya kerana membenarkan kami mengadakan ceramah. Tetapi sesi ceramah tidak seperti biasa.

“Kami hanya membenarkan tidak melebihi 150 orang penonton dan sesi mesti selesai sebelum jam 10 malam. Kami akan mematuhi ini untuk menjaga kesihatan semua orang,” katanya.-EDISI UKAS

add comment