SELASA, 7 DISEMBER 2021
SONG: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas Lidam Assan merupakan seorang yang mempunyai kriteria sebagai pemimpin.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, GPS sentiasa mengutamakan pandangan orang muda dan baharu dalam memperkasakan lagi pelapis untuk masa depan.
“Lidam Assan mempunyai kriteria yang sesuai sebagai pemimpin.
“Atas sebab itu, beliau telah dipilih sebagai calon GPS di DUN Katibas pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak kali ini.
“Adalah diharapkan kaum Cina di Song ini terus memberikan sokongan bagi memastikan agenda pembangunan di Kapit dapat diteruskan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Bamboo House, Jalan Mission Song pada Selasa.
Ujarnya beliau lagi, apabila menang kelak Lidam perlu bekerja keras bagi memastikan DUN Katibas dan Bahagian Kapit membangun dan maju.

Sementara itu, Lidam dalam ucapannya meminta kaum Cina di Song menyokong GPS untuk kestabilan politik dan ekonomi di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Pada majlis itu telah disampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada dua buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Cina kawasan Penghulu Lim Eng Hock dengan jumlah keseluruhan RM87,500.
Hadir sama Pemanca Toh Tze Hua, Penghulu Lim Eng Hock, Kapitan Hun Haw Hui dan Kapitan John Khoo.-EDISI UKAS