RABU, 8 DISEMBER 2021
KUCHING: Sempena Sambutan Ke-60 tahun penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak (SPANS), Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memperuntukkan Pejabat Baharu SPANS bertempat di Bangunan Hikmah Exchange, yang dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah membuat pengumuman tersebut semasa berucap dalam Majlis Sambutan Jubli Intan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Ke-60 Tahun Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak (SPANS) di Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya pada Rabu.
“Sempena sambutan ini, saya dengan rasa bangga ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri telah bersetuju memperuntukkan Pejabat Baharu SPANS di Tingkat 16 & 17, Bangunan Hikmah Exchange yang dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan,” katanya.
Menurut Ketua Menteri, penjawat awam merupakan jentera utama dalam menggerakkan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Oleh itu, beliau berharap agar penjawat awam di negeri ini dapat menjadi satu pasukan yang dapat merealisasikan visi mentransformasikan Sarawak menjadi sebuah ekonomi digital dan berupaya mencapai status negeri maju menjelang 2030.
“Saya amat berharap agar penjawat awam negeri ini dapat menjadi pasukan yang berkesan untuk merealisasikan visi mentranformasikan Sarawak menjadi sebuah ekonomi digital dan berupaya mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
“Justeru, peranan ahli-ahli suruhanjaya yang dilantik, kebanyakannya daripada bekas ketua-ketua jabatan samada daripada Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing amatlah penting dalam merealisasikan visi tersebut,” tambah beliau.
Pada majlis sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut merasmikan pelancaran dua buah buku terbitan SPANS iaitu “Buku Menjunjung Amanah dan Tanggungjawab” dan “Buku Coffee Table”.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Luar Bandar), Datu Ik Pahon Joyik; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), Datu Dr. Sabariah Putit; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Datu Abdul Ghafur Shariff, timbalan-timbalan pengerusi dan dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS