KHAMIS, 9 DISEMBER 2021
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyokong sepenuhnya usaha pesara polis yang melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi selain dari usaha kebajikan.
“Saya amat kagum dengan alumni hanya dikenali semasa tibanya waktu bulan puasa atau perayaan Gawai Dayak dengan pelbagai sumbangan dan bantuan bagi membantu pesara polis dan saya menyokong usaha ini dipelbagaikan dari sudut yang dapat membantu mereka dalam memainkan peranan dalam bidang ekonomi,” katanya semasa menghadiri Majlis Pelancaran Laman Sesawang dan Logo baharu Persatuan Alumni Polis Sarawak sambil mengadakan Lawatan Kerja beliau di Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia (IPK) Kuching pada Khamis.
“Seperti contohnya penghasilan gula apong di Sarawak, banyak terdapat di pesisir Mukah Ke Saribas dan Kuching. Maka ini kegiatan yang kita boleh usahakan untuk menghasilkan jualan gula apong ke luar negara seperti Singapura untuk meningkatkan ekonomi penghasilan produk tempatan Sarawak ke luar negara.”
Dalam pada itu, beliau juga berharap agar kesemua alumni itu melibatkan diri dalam bidang pengusahaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka serta menaikkan taraf ekonomi selaras dengan dasar Sarawak berstatus negeri berpendapatan tinggi pada 2030.-EDISI UKAS