Kerajaan Sarawak Berjaya Tarik Pelaburan Sebanyak RM15.7 Bilion Pada 2020

JUMAAT, 10 DISEMBER 2021

KUCHING: Meskipun dunia masih berdepan cabaran pandemik COVID-19, kerajaan Sarawak masih mampu menarik pelaburan sebanyak RM15.7 bilion pada 2020.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, Kuching kekal menunjukkan prestasi yang memberansangkan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Malah jelasnya, Sarawak sentiasa berada di antara empat destinasi pelaburan terbaik di Malaysia untuk sektor pembuatan sejak beberapa tahun lalu dan masih mampu menarik RM15.7 bilion pelaburan pada 2020.

“Syarikat multinasional (MNC) di Sama Jaya juga menunjukkan peningkatan sebanyak 27.5 peratus dalam mengeksport barangan pada tahun 2020 dengan nilai RM6.93 bilion pada 2020 yang menunjukkan peningkatan sebanyak 27.5 peratus daripada tahun 2019 yang bernilai RM5.43 bilion.

“Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya juga menunjukkan prestasi yang sangat baik walaupun pandemik telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi pelbagai negara di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Samajaya Extension Investment dan lawatan Ke Long Samajaya Industrial Park di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, pada Jumaat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu juga memberitahu, kerajaan Sarawak telah mengenal pasti tapak baharu kira-kira 1,000 ekar di Samarahan untuk pembesaran Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya yang telah hampir mencapai kapasiti penuhnya.

“Kita memerlukan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi demi manfaat rakyat kerana Sarawak mempunyai kawasan daratan yang besar dan banyak sumber asli.

“Kita juga perlu terus mencipta peluang perniagaan baharu untuk komuniti perniagaan dalam sektor berteknologi tinggi untuk terus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk graduan dan lepasan sekolah,” ujarnya.

Beliau menambah, Sarawak akan meneruskan dasar mesra perniagaan untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam industri berteknologi tinggi sekaligus menyumbang ke arah mencapai objektif PCDS 2030. -EDISI UKAS

add comment