PRN-12 Sarawak: Kerjasama Jentera Parti GPS Kunci Kemenangan Di DUN Opar

JUMAAT, 10 DISEMBER 2021

LUNDU:  Kerjasama erat di kalangan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi kunci utama untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.1 Opar dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak kelak.

Demikian tegas Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Gerald Rentap Jabu semasa berucap di program ringkas bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Kampung Bitokan pada Khamis.

Menurut beliau, adalah menjadi keutamaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membawa pembangunan dan kemajuan kepada rakyat.

Justeru katanya, para pengundi di kawasan DUN Opar perlu memberi sokongan kepada calon GPS seterusnya memastikan kelangsungan pembangunan di konstituensi berkenaan.

Dalam pada itu, calon GPS DUN N.1 Opar, Billy Sujang berkata, beliau berazam untuk bekerja sepenuhnya untuk rakyat sekiranya diberikan mandat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Katanya, ini kerana kemajuan di DUN N.1 Opar agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan DUN berdekatan memandangkan wakil rakyat N.1 Opar sebelum ini berada di dalam blok pembangkang.

Sehubungan itu, Billy menyeru jentera-jentera parti GPS untuk memastikan kemenangan di N.1 Opar.-EDISI UKAS

add comment