Taman Perindustrian Sebuyau Akan Dibangunkan Dalam RMK-12

JUMAAT, 10 DISEMBER 2021

SEBUYAU: Taman Perindustrian Sebuyau akan dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi merancakkan lagi aktiviti perniagaan setempat.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini membuktikan komitmen kerajaan Sarawak sentiasa memberi keutamaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan, khususnya PKS luar bandar.

Menurutnya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian & Pembangunan Usahawan, Sarawak, menerusi fasiliti seperti ini, PKS tempatan akan terus komited untuk memajukan diri dan perniagaan supaya kekal berdaya saing sehingga pasaran global.

“Bagi melengkapkan ekosistem keusahawanan di Sarawak, kementerian saya akan terus membangunkan infrastruktur perniagaan supaya usahawan tempatan dapat merancakkan lagi aktiviti perniagaan mereka.

“Secara keseluruhan, terdapat 21 Anjung Usahawan 18 Industrial Estate dan 3 mini Industrial Estate / Anjung Usahawan di seluruh Sarawak yang telah dan akan dilaksanakan dan bilangan Anjung Usahawan dan Taman Perindustrian ini akan ditambah pada masa hadapan bagi menampung kepesatan pembangunan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penangguhan Kursus Kemahiran Keusahawanan Digital (Pemasaran Digital) di Dewan Pembangunan Sebuyau pada Jumaat.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak, Dzulkornain Masron, Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu dan serta tetamu jemputan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, MINTRED telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Go Digital Sarawak dan Digital Marketing Sarawak.

Katanya, ini bagi menggalakkan lagi usahawan Sarawak supaya bergerak ke arah digital entrepreneurship.

“Malah, sejak penularan pandemik tahun lepas, kerajaan Sarawak telah melaksanakan bantuan di bawah Pakej BKSS 1.0 hingga BKSS 8.0 dengan jumlah bantuan keseluruhan yang bernilai RM5.687 bilion.

“Melalui kementerian saya juga, sebanyak RM166.713 juta bantuan kewangan telah diluluskan kepada 5,450 usahawan tempatan menerusi inisiatif seperti Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) dengan jumlah bantuan RM30.13 juta, Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS), (RM48 juta), Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK), (RM3.34 juta) kepada 264 usahawan belia dan Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) (RM4.42 juta),” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan cek Bantuan Keusahawan melalui Peruntukan Dana Pembiayaan Skim Kredit Mikro Sarawak bernilai RM3,883,672 kepada 104 peserta melalui Agro Bank. -EDISI UKAS

add comment