SABTU, 11 DISEMBER 2021
MUKAH: Seramai 40 ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengumumkan keluar dari parti tersebut pada Sabtu dan menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu-Gabungan parti Sarawak (PBB-GPS).
Keputusan diambil kesemua ahli berkenaan dari Rumah Panjang Jimbun Balai, Rumah Panjang Ali dan Rumah Sunny Balai di kawasan Penipah di sini kerana kecewa dengan parti pembangkang sering mengeluarkan kenyataan mengelirukan untuk menarik sokongan rakyat.
Menurut Bekas Ketua Ranting PSB Penipah, Nanang Balai, pembangkang gagal membawa kemajuan dan hanya menabur janji sepanjang beliau menyertai parti berkenaan.
“Di sini saya nak terangkan masyarakat bangsa Iban. Kita sebenarnya dikelirukan oleh pihak pembangkang, di mana pihak pembangkang mengatakan asas yang tidak perlu kita ikut.
“Jadi untuk masa depan kita, untuk masa depan anak-anak kita, untuk masa depan bangsa kita, GPS merupakan platform yang bagus untuk kita mengembangkan parti ini. Sebab dari apa yang saya lihat, saya ikut pembangkang selama ini, langsung tiada kemajuan.
“Apa yang dijanjikan mereka selama ini, pada PRU yang lepas, janji tinggal janji,” katanya ketika ditemuramah media pada Sabtu.
Jelas Nanang, ia berbeza dengan GPS yang telah banyak membantu menyalurkan peruntukan dari segi infrastruktur kepada masyarakat Iban termasuk di rumah panjang beliau sendiri.
Sementara itu, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Fridah Osman ketika ditemui media menyifatkan keputusan diambil 40 bekas ahli PSB itu sebagai bijak kerana mereka tidak mahu ketinggalan dari arus pembangunan.
“Tahniah kepada yang telah mengambil keputusan ini. Dari 2016, mereka menaruh harapan kepada Amanah, kemudian Keadilan, dan sebelum ini PSB namun hasrat mereka untuk bersama-sama parti pembangkang tidak berhasil.
“Jadi mereka mengambil keputusan yang bijak, sebab mereka tidak mahu ketinggalan oleh arus pembangunan,” katanya. – EDISI UKAS