Kredibiliti Wee Hong Seng Sebagai Datuk Bandar Beri Kelebihan Terus Beri Khidmat Di DUN Padungan

SABTU, 11 DISEMBER 2021

KUCHING: Tanggungjawab sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) tidak menghalang Datuk Wee Hong Seng menjadi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Padungan terus memberi khidmat kepada rakyat sebagai wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Datuk Wee mempunyai kredibiliti dalam menyumbang banyak idea khususnya pembangunan di Kuching khususnya untuk DUN Padungan.

“Saya diberitahu Datuk Wee adalah Datuk Bandar yang baik dan mempunyai banyak idea dalam membawa pembangunan.

“Bagi saya kenapa beliau tidak menyumbang idea yang sama dalam DUN supaya semua rakyat akan mendapat manfaatnya.

“Oleh demikian, rakyat di sini (Padungan) tidak perlu risau kerana jika diberi kepercayaan beliau masih dapat memberikan khidmat bukan sahaja sebagai Datuk Bandar malah sebagai wakil rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Redevelopment of MBKS Swimming Pool Into Family Water Fun Partk & Centre For UNESCO Creative City of Gastronomy Project di Kuching pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut optimis sektor pelancongan Sarawak mempunyai masa hadapan yang cerah dengan kerjasama baik antara Kerajaan Sarawak dan Pusat.

Tambahnya juga, menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, pelbagai perancangan dan usaha membangunkan infrastruktur asas akan dilakukan bagi memperkasakan sektor pelancongan negeri.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Datuk Bandar MBKS Datuk Wee dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Junaidi Reduan serta yang lain.- EDISI UKAS

add comment