PRN12 Sarawak: Peruntukan RTP, MRP, PPRMS ‘Game Changer’ Masyarakat Luar Bandar

SABTU, 11 DISEMBER 2021

LIMBANG: Peruntukan seperti Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Rakyat Sarawak (PPRMS) merupakan ‘game changer’ kepada masyarakat luar bandar.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN N80 Batu Danau Paulus Palu Gumbang memberitahu, bagi kawasan DUN Batu Danau sahaja, GPS telah banyak membawa pembangunan dan membantu rakyat di sini.

“Dengan adanya peruntukan RTP dan MRP ini, banyak pembangunan yg sebelum ini kita tidak dapat dilaksanakan telah dapat dilakukan.

“Dari tahun 2015 hingga kini, sebanyak RM49 juta telah diperuntukan dan dengan adanya ini kita dapat laksanakan dalam bentuk projek sebanyak 264 projek keseluruhannya,”katanya dalam satu video di Facebook yang dimuat naik pada Khamis.

Dalam pada itu, Paulus menambah, PPRMS juga adalah salah satu daripada usaha Kerajaan GPS untuk membantu rakyat yang miskin dan memerlukan bantuan untuk membaiki rumah mereka sebagai contoh dengan membaiki atap rumah yang telah rosak.

“Kita dapat membantu tidak kurang daripada 66 penerima yang rumah mereka dapat dibaiki.

“Ini memang satu bantuan yang amat penting terutama masyarakat yang tidak berupaya untuk baiki dan baik pulih rumah mereka sendiri,” katanya lagi.-EDISI UKAS

add comment