Penduduk Kampung Melaban Kini Nikmati Kemudahan Bekalan Elektrik, Tidak Perlu Guna Enjin Jana Kuasa Elektrik

AHAD, 12 DISEMBER 2021

LIMBANG: Penantian penduduk Kampung Melaban untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik kini direalisasikan setelah sekian lama bergantung dengan penggunaan enjin jana kuasa elektrik.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kejayaan penyediaan kemudahan ini adalah hasil usaha dan kerjasama semua pihak.

“Kejayaan penyediaan kemudahan ini adalah hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang memainkan peranan penting.

“Ini terutamanya Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Batu Danau Paulus Palu Gumbang yang merupakan Ahli Lembaga SESCO bagi memastikan kelancaran permohonan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Rumah Jampong dapat direalisasikan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran BELB di Rumah Jampong, Kampung Melaban pada Sabtu.

Hasbi menyeru penduduk setempat untuk menjaga kemudahan yang telah disediakan demi keselamatan penduduk di rumah panjang dan mengelak daripada kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Sementara itu, Tuai Rumah Jampong Tumang merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Hasbi serta Paulus di atas usaha menjadikan impian rakyat untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik terlaksana di Kampung Melaban.

Turut senada, penduduk kampung, Armit Murundi, yang menzahirkan kegembiraan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak.

“Saya berasa gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah melaksanakan kemudahan bekalan elektrik di Kampung Melaban yang telah ditunggu-tunggu oleh penduduk kampung,” katanya.

Dalam pada itu, Robin Muntai yang juga penduduk kampung tersebut turut menzahirkan rasa gembira di atas kejayaan Kerajaan Sarawak membekalkan elektrik ke kampung mereka.

“Saya sangat gembira kerana Kerajaan Sarawak telah menjayakan projek bekalan elektrik di Kampung Melaban.

“Saya juga berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah banyak memberi bantuan kepada keluarga tani seperti pemberian baja,anak benih buah dan sebagainya.

“Kami berharap agar Kerajaan Sarawak dapat terus memajukan kawasan di luar bandar tanpa meminggirkan Kampung Melaban dari arus pembangunan,” kata Robin.-EDISI UKAS

add comment