AHAD, 12 DISEMBER 2021
KUCHING: Projek Perumahan Rumah Spektra Permata (RSP) Permyjaya III, Miri kini sedang menunggu kelulusan berhubung pelantikan terus kontraktor utamanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak Mohamad Asman Ahmad dalam kenyataan media pada Sabtu berkata, pelantikan kontraktor dijangka akan dibuat pada suku pertama 2022.
RSP Permyjaya III yang terletak di Block 6, Kuala Baram Land District, Miri akan membabitkan pembinaan 101 unit rumah teres setingkat berkeluasan 700 kaki persegi dengan setiap unit rumah dilengkapi dengan 3 bilik tidur, 2 bilik air, satu ruang tamu, ruang makan dan ruang dapur.
“Dengan nilai projek RM34,275,846.35, projek ini adalah projek peruntukan Kerajaan Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12),” katanya.
Mengenai RSP Baru Spaoh, Betong pula projek ini juga adalah projek peruntukan Kerajaan Sarawak di bawah RMK-12.
Menurut Mohamad Asman lagi, HDC akan membina rumah RSP di atas lot-lot Skim Pembesaran Kampung Baru Spaoh yang dibangunkan Jabatan Tanah Survei (JTS).
“Cadangan jenis rumah ialah sesebuah bertiang berkeluasan 750 kaki persegi dengan 3 bilik tidur, 2 bilik tidur dan satu ruang tamu, ruang makan dan ruang dapur dengan cadangan harga jualan rumah pula adalah di antara RM90,000 hingga RM120,000 seunit tidak termasuk premium tanah JTS RM2,500 selot.
“Nilai projek berdasarkan skop pembangunan projek adalah RM61,965,000 dengan skop pembangunan projek melibatkan kerja-kerja penembokan tanah ke atas 161 lot dan kerja-kerja menaik taraf sistem infrastruktur asas kepada sistem jalan batuan kepada jalan berturap dan sistem perparitan tanah kepada perparitan konkrit,” katanya.
Tambahnya lagi, kerja-kerja menaik taraf sistem infrastruktur asas sedia ada kepada sistem infrastruktur berspesifikasi penuh dan pembinaan rumah dijangka bermula pada suku pertama tahun 2022.-EDISI UKAS