12 Sektor Dirancang Untuk Pembangunan DUN N.75 Senadin

ISNIN, 13 DISEMBER 2021

MIRI: Sebanyak 12 sektor dirancang untuk dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.75 Senadin dalam tempoh masa lima tahun akan datang iaitu tahun 2022 hingga tahun 2027.

Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) N75 Senadin, Dato’ Seri Lee Kim Shin berkata, beliau akan melakukan yang terbaik dan bekerja keras dan berkhidmat secara ikhlas untuk memastikan Senadin bertambah maju dan pembangunan diteruskan.

“Saya telah melancarkan perancangan lima tahun akan datang untuk Senadin (2022-2027) yang merangkumi 12 sektor penting iaitu Perancangan Pengurusan Bandar, Pengangkutan dan Lalu Lintas; Perumahan & Taman Rekreasi; Perkhidmatan Kesihatan; Pengangkutan Jalan Air; Tebatan Banjir, Pembetungan & Pengurusan Sisa; Pembangunan Infrastruktur; Pelancongan; Agama dan Kebajikan; Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); Utiliti; Rangkaian Digital serta Pembangunan Pertanian dan Perindustrian,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Perancangan Lima Tahun Untuk DUN Senadin di Dewan SUPP Cawangan Senadin pada Ahad.

Sehubungan itu, Dato’ Seri Lee menyeru rakyat yang mengundi untuk terus memberi sokongan padu kepada beliau pada pilihan raya kali ini.-EDISI UKAS

add comment