Belia Perlu Dipersiap Dalam Semua Aspek Untuk Teruskan Pembangunan

ISNIN, 13 DISEMBER 2021

LAWAS: Golongan belia perlu dipersiapkan dalam semua aspek supaya mereka menjadi mahir dan berilmu untuk memajukan lagi pembangunan Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mereka ini akan menyambung perjuangan untuk meningkatkan lagi kemajuan negeri dan kesejahteraan hidup masyarakat.

“Sekiranya para belia kita ini akan menjadi penggerak kepada perubahan masa depan yang lebih baik, mereka haruslah mempunyai pendidikan dan kemahiran,”katanya semasa berucap dalam Program SAMApeduli, Belia Cemerlang 2021 di Dewan Masyarakat Merapok, Lawas pada Ahad.

Datuk Amar Awang Tengah juga mengingatkan golongan belia untuk tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu yang negatif yang boleh mengganggu kestabilan dan kedamaian di Sarawak ini.

“Jangan kita terbawa-bawa perkara yang boleh merubah ideologi kita daripada pengaruh luar yang tidak baik. Kita harus berpegang kepada nilai yang baik,” katanya.

Beliau menambah, isu perkauman perlu dijauhi kerana kerjasama semua kaum adalah kunci bagi pemerintahan di Sarawak.

“Kita bergerak dalam satu haluan. Tidak ada satu kaum pun yang boleh memerintah secara sendiri. Kita cuma dapat memerintah dengan kerjasama semua kaum. Kita tidak membezakan kaum-kaum di Sarawak ini. Itulah yang penting untuk kemajuan dan kesejahteraan kita,” kata Datuk Amar Awang Tengah.

Ujar beliau lagi, bagi pilihanraya kali ini, penentuan berada di tangan rakyat sendiri untuk meneruskan pembangunan serta kebajikan terus dijaga.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar bandar II Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, dan Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS)Datu Dr Sanib Said.-EDISI UKAS

add comment