Hargai Sumbangan ATM Dalam Memerangi COVID-19, Ketua Menteri Ucap Terima Kasih

ISNIN, 13 DISEMBER 2021

SIBU: Penglibatan langsung anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memerangi COVID-19 di Sarawak sangat dihargai. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mewakili Kerajaan Sarawak mengucapkan terima kasih kepada setiap anggota ATM di atas jasa dan pengorbanan dalam membantu Kerajaan Sarawak memerangi penularan COVID-19. 

Ujarnya, mereka telah turun padang dengan terlibat sama dalam menyediakan Hospital Medan, membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan luar bandar dan pedalaman serta terlibat dalam operasi sekatan jalan raya. 

“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada anggota tentera kita. 

“Untuk itu, Kerajaan Sarawak akan sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan anggota tentera,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam lawatannya ke Kem Rascom Sibu pada Isnin. 

Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, pandemik COVID-19 telah membawa kesan negatif yang mengikut mendalam kepada masyarakat.

Ini termasuklah kegiatan sosial dan ekonomi di negeri ini dan juga negara bahkan dunia seluruhnya. 

Terdahulu, Ketua Menteri memberitahu Kerajaan Sarawak telah mengumumkan sumbangan peralatan berupa Aset Kawalan Pertahanan Sempadan bagi mengawal dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan sempadan Sarawak. 

“Sebagai tanda penghargaan Kerajaan Sarawak di atas pengorbanan dan jasa saudara dan saudari (anggota ATM) dalam menjaga keselamatan negeri, saya telah mengumumkan sumbangan dalam bentuk Aset Kawalan Pertahanan Sempadan kepada ATM di negeri Sarawak.  

“Perkara ini telah saya umumkan di Kem Muara Tuang. 

“Penyerahan aset Kawalan Pertahanan Sempadan ini diharapkan dapat membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan memperkasakan kawalan sempadan negeri Sarawak,” ujarnya. 

Turut sama hadir Mejar Jeneral Dato’ Dzulkafli Mustaffa, Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar, Panglima 31 Briged Brigedier Jeneral Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid dan Komander Rejimen 510 Askar Wataniah Kolonel Dato Mohamad Abu Bakar Marzuki. -EDISI UKAS

add comment