ISNIN, 13 DISEMBER 2021
SIBU: Masyarakat Cina sangat menitikberatkan pendidikan sehingga dibenarkan mendirikan sekolah sendiri dan ramai masyarakat bukan Cina turut menghantar anak mereka ke sekolah Cina disebabkan kualitinya yang tinggi.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, menyedari keperluan itu beliau telah menyediakan keperluan kewangan hampir RM10 juta setahun kepada sekolah aliran Cina.
“Kerajaan Sarawak menyokong pendidikan Cina dengan bantuan kewangan mencecah RM10 juta setiap tahun sama seperti sokongan yang diberikan kepada sekolah mubaligh,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Pelancaran Foochow Association Park dan Pelancaran Bangunan Tambahan SJKC Dung San Sibu pada Isnin.

Pada majllis itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Foochow Sibu kerana bekerjasama dengan SMC untuk membina Taman Foochow Shi Yi di Jalan Gambir dengan kos RM3.5 juta dan juga Lembaga Sekolah Dung Sang kerana telah memulakan pembinaan blok bilik darjah dan dewan serba guna dengan kos RM9 juta.
Hadir sama Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi; Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr. Annuar Rapa’ee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Zaidi Mahdi, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Abdullah Julaihi, Residen Bahagian Sibu Wong Hie Sieng, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarance Ting Ing Horh, Pengerusi Persatuan Foo Chow Sibu merangkap Pengerusi Penganjur Majlis Pecah Tanah – World Foochow Shi-Yi Park Ying Tian Cai dan Pengarah Lembaga Pengurusan Sekolah SJK (C) Dung Sang Ling Sieng Ing. -EDISI UKAS