Projek Tebatan Banjir Daerah Sebuyau Kini Siap 30 Peratus

ISNIN, 13 DISEMBER 2021

SEBUYAU: Projek pembinaan tebatan banjir daerah Sebuyau kini siap kira-kira 30 peratus.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, projek berkenaan mula dilaksanakan pada 28 Oktober 2020 dengan kos sebanyak RM53 juta.

Beliau yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN N.27 Sebuyau memberitahu, manakala projek tebatan banjir Blok E Skim Sebangan Bajong yang melibatkan Kampung Tebelu, Sangki Iban, Sangki Melayu hingga ke Kampung Seberang Sebuyau sedang giat dijalankan.

“Projek itu bermula pada 16 Januari 2021 dan menelan kos sebanyak RM84 juta,” katanya semasa hadir taklimat Projek Tebatan Banjir di Dewan Pembangunan Sebuyau pada Ahad.

Dalam pada itu ujarnya, pelaksanaan projek-projek lindungan hakisan pantai tebatan banjir tersebut memakan kos sebanyak RM340 juta.

Katanya, ia telah diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) yang mana Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Samarahan sebagai agensi pelaksana.-EDISI UKAS

add comment