PRN-12 Sarawak: Pengundian Awal di DUN N.17 Stakan Berjalan Lancar

SELASA, 14 DISEMBER 2021

STAKAN: Proses pengundian awal bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Stakan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kem Muara Tuang berjalan lancar pada Selasa.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 2,331 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka dengan membuang undi di pusat pengundian berkenaan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menjadi individu pertama membuang undi di pusat pengundian berkenaan sebelum proses pengundian awal bagi anggota tentera bermula.

Hasil tinjauan mendapati prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya yang ditetapkan dipatuhi ketat di pusat pengundian dengan kehadiran petugas-petugas yang lengkap menggunakan pelitup muka dan mematuhi penjarakan fizikal.

Selain itu, petugas SPR turut menjalankan pemeriksaan saringan suhu badan kepada pengundi yang datang dan memastikan tangan mereka disanitasi sebelum masuk ke ruang pengundian.

Sebanyak dua pusat mengundi dibuka iaitu Dewan Serbaguna Kem Muara Tuang yang mempunyai lima saluran dan Dewan Bukavu Kem Penrissen yang mempunyai tujuh saluran bagi menjalankan proses demokrasi pemilihan  di DUN N.17 Stakan pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak ini.-EDISI UKAS

add comment