23 Warta, 271 SHT Kawasan Krian Telah Diserahkan Kepada Penerima

RABU, 15 DISEMBER 2021

SARATOK : Sebanyak 23 warta bagi tiga kawasan di Krian, Saratok dan 271 surat hak tanah telah diserahkan kepada penerima dalam Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN bagi kawasan Krian, Saratok pada Rabu.

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Berucap pada majlis tersebut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, semua aset harus ada dokumen yang menjadi harta kita, begitu juga dengan tanah supaya tiada yang menuntut hak kita pada masa akan datang.

“Kalau tidak akan terjadinya ramai yang akan menuntut hak tanah dan sebab itu kita mesti ada undang-undang.

“Orang yang tuntut tanah dia, memang hak dia. Maka kita akan keluarkan surat yang mengatakan tanah itu dipunyai oleh rumah panjang itu dan sebelum surat dikeluarkan, tanah harus disukat terlebih dahulu mengikut bukti-bukti yang ada dan itulah Sekyen 6 dan seterusnya menjadi tanah NCR,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang turut hadir pada majlis tersebut berkata, surat tanah akan diberikan secara percuma untuk memberi manfaat kepada pemilik tanah dan juga orang ramai setelah ianya disukat dengan Sekyen 6 dan Sekyen 18.

Antara kawasan yang telah diwartakan di bawah Sekyen 6 adalah Mapar, Babang dan Rimbas yang berkeluasan 1724 hektar, kawasan Krangan Rusa Ulu, Krian yang berkeluasan 901 hektar dan kawasan Kedap/Malupa, Awik, Saratok yang berkeluasan 2143 hektar.-EDISI UKAS

add comment