Buat Penilaian Waras, Bijak Dan Bersikap Berkecuali – Pengerusi CUEPACS Sarawak

RABU, 15 DISEMBER 2021

KUCHING: Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri Ke 12 (PRN12) Sarawak pada Sabtu ini, penjawat awam diingatkan sentiasa membuat penilaian yang waras, bijak serta mengamalkan prinsip berkecuali tanpa memihak kepada mana-mana parti.  

Pengerusi CUEPACS Sarawak Omar Bahrein Unin dalam kenyataan media pada Rabu berkata, penjawat awam masih terikat kepada peraturan perkhidmatan awam.

“Elakkan diri kita daripada sentimen kepartian kerana kita masih terikat dengan peraturan perkhidmatan awam dan boleh diambil tindakan tatatertib sekiranya kita didapati terlibat dengan mana-mana parti politik secara langsung. 

“Apa yang penting sebagai penjawat awam kita sememangnya menyokong mana-mana kerajaan sebagai pemerintah atau yang sering diistilahkan sebagai ‘government of the day’.  

“Justeru, penjawat awam juga diberi hak untuk memilih wakil rakyat di kawasan masing-masing maka pilihlah dengan pertimbangan yang wajar dan tepat demi kesejahteraan rakyat Sarawak khususnya,” katanya. 

Ujar Omar lagi, bagi penjawat awam yang terlibat sebagai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRN12 Sarawak diingatkan dapat menjalankan tugas dengan penuh integriti dan berhemah di samping menjaga keselamatan masing-masing terutamanya mereka yang bertugas di kawasan pedalaman. 

“Patuhilah semua arahan dan peraturan yang ditetapkan sebagai petugas pilihan raya SPR.  

“Kerja baik yang dilaksanakan menunjukkan penjawat awam sentiasa komited dan taat dalam memberi khidmat kepada masyarakat dan kerajaan,” ujarnya.-EDISI UKAS

add comment