RABU, 15 DISEMBER 2021
SIBU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Nangka, Dr Annuar Rapaee hadir bagi meninjau suasana di luar pusat pengundian awal di Kem Rascom Sibu dan Dewan Kem Oya pada Selasa.
Seramai 1361 pengundi awal dari kalangan anggota tentera dan pasangan yang bertugas di Kem Rascom mengundi dengan proses pembuangan undi bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
Selain itu, seramai 719 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan pasangan turut membuang undi di Kem Oya Sibu.
Ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Dr Annuar berkata, tinjauan yang dilakukan mendapati rata-rata pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan menunggu giliran di pusat pengundian dengan lengkap memakai pelitup muka. – EDISI UKAS