Kawasan DUN Kakus Tidak Terlepas Menerima Pembangunan Daripada GPS

RABU, 15 DISEMBER 2021

TATAU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan pembangunan di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi membolehkan setiap rakyat menikmati pembangunan seimbang. 

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Undang-Undang dan Adat Bumiputera Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, pada Belanjawan Sarawak 2022 sebanyak 70 peratus telah diperuntukan bagi meneruskan pembangunan di kawasan luar bandar. 

Ujarnya lagi, pembangunan ini termasuklah di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.60 Kakus. 

“Pelbagai pembangunan telah dibawa ke kawasan ini antaranya bekalan air melalui Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) yang kini masih dalam pembinaan. Begitu juga kawasan di Penyarai yang kini telah menikmati bekalan elektrik 24 jam.

“Selepas ini menaik taraf kemudahan jaringan jalan raya yang baik ke kawasan penduduk di Ulu Penyarai,” katanya semasa berucap dalam Kempen Plihan Raya GPS DUN N.60 Kakus di Rumah Kanyan Abok Penyarai, Tatau pada Selasa. 

Turut dilawati Rumah Malo Penyarai, Rumah Segaya dan Rumah Samun, Tatau. 

Jelas Datuk John Sikie yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) N.60 Kakus, projek pembangunan ini tidak dapat dilakukan dengan sekelip mata sebaliknya dilaksanakan secara berperingkat.

“Projek pembangunan ini dilaksanakan secara berperingkat memandangkan kawasan DUN Kakus begitu luas meliputi kawasan di bawah pentadbiran Daerah Tatau dan sebahagiannya dari Daerah Selangau dan Daerah Mukah,” jelasnya. 

Sementara itu Tuai Rumah Kanyan menyeru penduduk terus memberikan sokongan kepada Datuk John Sikie dan GPS yang ternyata telah banyak membantu penduduk di kawasan luar bandar dengan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas. 

Saranan ini turut disokong Tuai Rumah Segaya yang mengucapkan terima kasih di atas kelulusan Projek Pinjaman Perumahan HDC sebanyak RM30,000 bagi setiap pintu. -EDISI UKAS

add comment