Kertas Kerja Naik Taraf Jalan Roundabout GK, Pujut 3 Miri Telah Disiapkan, Dihantar Untuk Kelulusan

RABU, 15 DISEMBER 2021

MIRI: Jalan Roundabout GK, Pujut 3 Miri perlu dinaik taraf bagi mengatasi kesesakan jalan raya yang sering berlaku di kawasan ini. 

Menurut Menteri Muda Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, kesesakan jalan raya yang sering berlaku di kawasan ini boleh mencapai sehingga dua kilometer. 

“Projek ini sangat penting bagi mengatasi kesesakan jalan raya yang sering berlaku di kawasan ini. 

“Menurut penilaian JKR kesesakan ini melibatkan sejauh dua kilometer. 

“Kita akan mengikuti dengan lebih dekat lagi mengenai pelaksanaan projek ini nanti,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau bulatan di Jalan Roundabout GK, Pujut 3, Miri pada Selasa. 

Tambah Datuk Sebastian lagi, kertas cadangan bagi membina lampu isyarat di kawasan ini akan diserahkan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk tindakan seterusnya. 

Kesesakan jalan di Jalan Roundabout GK, Pujut 3, Miri ini sering kali menjadi bahan kempen pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri Ke 12 (PRN12) Sarawak ketika ini. 

Projek menaik taraf jalan ini sebenarnya telah diluluskan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tetapi, telah dibatalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 14 pada 2018. 

Sementara itu, Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang berkata cadangan projek ini di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana utama dan dibantu PETROS dalam memindahkan saluran paip gas. 

“Perkhidmatan saluran paip gas sangat mahal. Jadi, memindah paip gas PETROS salah satu daripada projek yang menelan kos yang tinggi. 

“Untuk itu, PETROS akan bekerjasama dengan JKR bagi memindahkan paip gas ini bagi menjayakan pelaksanaan projek menaik taraf jalan ini nanti,” katanya. 

Projek ini akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama dengan PETROS yang akan bertanggungjawab dalam memindahkan saluran gas bagi memastikan projek menaik taraf jalan ini dapat dilaksanakan demi keselesaan pengguna jalan raya. -EDISI UKAS

add comment