RABU, 15 DISEMBER 2021
LINGGA: Keputusan menjadikan Lingga sebagai sebuah daerah penuh dibuat bagi memberi fokus kepada proses pembangunan di kawasan luar bandar.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, persempadanan ini diubah sedikit disebabkan kehendak jentera pentadbiran bagi memudahkan pelaksanaan projek pembangunan.
“Alhamdulilah, selepas dibuat kajian kita telah membuat keputusan Bahagian Sri Aman ada 4 daerah iaitu Dearah Sri Aman atau Simanggang, Daerah Lubok Antu, Daerah Pantu dan Daerah Lingga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Lingga Sebagai Daerah pada Selasa.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut memberitahu dengan menjadikan Lingga sebagai sebuah daerah membolehkan dasar pembangunan Kerajaan Sarawak dapat dihubungkan terus kepada rakyat.
“Disebabkan oleh dasar pembangunan kita yang menekankan kepada pembangunan luar bandar.
“Kalau kita ada jentera yang lebih mantap jadi rakyat dapat berhubung dengan pihak pelaksana kerajaan mengikut dasar-dasar kita.
“Dan, dasar kita ialah untuk merapatkan lagi perhubungan di antara rakyat dan kerajaan serta melaksanakan projek yang diminta oleh rakyat dilaksana oleh kerajaan,” ujarnya.

Selepas ini Daerah Lingga akan mempunyai seorang pegawai daerah dan beberapa pegawai kerajaan yang lain serta didirikan Kompleks Pejabat Daerah Lingga.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari turut mengumumkan beberapa projek pembangunan yang telah diluluskan Kerajaan Sarawak bagi pembangunan di Daerah Lingga dengan jumlah peruntukan sebanyak RM367.8 juta.
Jelasnya, kesemua projek ini telah diluluskan sebelum Pilihan Raya Negeri Ke 12 (PRN12) Sarawak.
“Satunya, Perlindungan Sungai Bakong dengan Kosnya RM90 juta, Pengairan dan Saliran di kawasan Bakong RM33 juta, Pembinaan Jalan Stirau-Bakong ByPas RM15.6 juta, Menaik Taraf Jalan Menuang ke Langgir RM5 juta, Menaik Taraf Jalan Menangkir Engkeranji RM72 juta, Jalan Lingga-Banting RM75 juta, Gunong Lesso RM33.7 juta dan Taman Negara Seduku Benak RM50 juta. Kesemua kos projek ini sebanyak RM367.8 juta,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Residen Bahagian Sri Aman Datu Indit Bangai, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dato Simoi Peri, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Zaidi Mahdi dan Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Abdullah Julaihi.-EDISI UKAS