Pengundian Awal PRN-12 Sarawak Catat 89 Peratus

RABU, 15 DISEMBER 2021

KUCHING: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri Ke 12 (PRN12) Sarawak berjalan lancar seawal jam 8:00 pagi di kesemua 85 Pusat Mengundi Awal dengan 111 saluran disediakan pada Selasa. 

Seramai 12,585 anggota dan pegawai tentera serta pasangan, dan 10,458 anggota serta pegawai polis dan pasangan layak membuang undi bagi pilihan raya kali ini. 

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan media selepas pembuangan undi awal memaklumkan 89 peratus pengundi telah menjalankan kewajiban mereka. 

“Sejumlah 89% atau 18,141 orang pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis dan pasangan telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal,” katanya. 

Jumlah ini lebih tinggi berbanding 72 peratus yang dicatatkan dalam PRN11 Sarawak pada 2016. 

Ujarnya lagi, SPR mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik. 

Pengharagaan dan terima kasih juga kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR. 

Dalam pada itu, proses pengundian PRN12 Sarawak akan berlangsung pada 18 Disember ini dengan seramai 1,228,858 orang pengundi layak mengundi dalam PRN12 Sarawak. 

SPR menyasarkan 70 peratus rakyat Sarawak yang layak mengundi menunaikan kewajiban mereka pada Sabtu ini.-EDISI UKAS

add comment